[go: nahoru, domu]

Syarat Perkhidmatan Google

Berkuat kuasa 22 Mei 2024 | Versi-versi arkib | Muat turun PDF

Versi negara: Czechia

Perkara yang diliputi dalam syarat ini

Kami tahu anda mungkin mahu melangkau Syarat Perkhidmatan ini, tetapi penting untuk memastikan perkara yang boleh anda harapkan daripada kami semasa anda menggunakan perkhidmatan Google dan perkara yang kami harapkan daripada anda.

Syarat Perkhidmatan ini menggambarkan cara perniagaan Google berfungsi, undang-undang yang terpakai kepada syarikat kami, dan perkara tertentu yang kami sentiasa percaya adalah benar. Hasilnya, Syarat Perkhidmatan ini membantu kami mentakrifkan hubungan Google dengan anda semasa anda berinteraksi dengan perkhidmatan kami. Sebagai contoh, syarat ini merangkumi tajuk topik yang berikut:

Anda mesti memahami syarat ini kerana untuk menggunakan perkhidmatan kami, anda mesti bersetuju untuk menerima syarat ini. Kami menggalakkan anda memuat turun syarat ini untuk rujukan masa hadapan. Kami menjadikan syarat ini, dan semua versi sebelumnya, tersedia pada setiap masa di sini.

Selain syarat ini, kami juga menerbitkan Dasar Privasi. Walaupun bukan sebahagian daripada syarat ini, kami menggalakkan anda membaca Dasar Privasi ini untuk memahami dengan lebih baik cara anda boleh mengemas kini, mengurus, mengeksport dan memadamkan maklumat anda.

Syarat

Penyedia perkhidmatan

Di Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) dan Switzerland, perkhidmatan Google disediakan oleh, dan anda menyertai kontrak dengan:

Google Ireland Limited
diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Ireland
(Nombor Pendaftaran: 368047 / Nombor VAT: IE6388047V)

Gordon House, Barrow Street
Dublin 4
Ireland

Syarat umur

Jika umur anda kurang daripada syarat umur untuk mengurus Google Account anda sendiri, anda mesti mendapat kebenaran ibu/bapa atau penjaga anda yang sah untuk menggunakan Google Account. Sila minta ibu/bapa atau penjaga anda yang sah membaca syarat ini bersama anda.

Jika anda seorang ibu bapa atau penjaga yang sah, dan anda membenarkan anak anda menggunakan perkhidmatan, maka syarat ini terpakai kepada anda dan anda bertanggungjawab terhadap aktiviti anak anda pada perkhidmatan.

Sesetengah perkhidmatan Google mempunyai syarat umur tambahan seperti yang diterangkan dalam syarat dan dasar tambahan khusus perkhidmatan.

Hubungan anda dengan Google

Syarat ini membantu untuk mentakrifkan hubungan antara anda dengan Google. Apabila kami menyebut “Google”, “kami”, “kita” dan “kami”, kami maksudkan Google Ireland Limited dan anggota gabungannya. Secara umumnya, kami memberi anda kebenaran untuk mengakses dan menggunakan perkhidmatan kami jika anda bersetuju mengikut syarat ini, yang menggambarkan cara perniagaan Google berfungsi dan cara kami menjana pendapatan.

Perkara yang boleh anda harapkan daripada kami

Menyediakan bermacam-macam perkhidmatan yang berguna

Kami menyediakan pelbagai perkhidmatan yang tertakluk pada syarat ini, termasuk:
  • apl dan laman (seperti Search dan Maps)
  • platform (seperti Google Shopping)
  • perkhidmatan bersepadu (seperti Maps yang dibenamkan dalam apl atau laman syarikat lain)
  • peranti (seperti Google Nest dan Pixel)

Kebanyakan perkhidmatan ini juga termasuk kandungan yang boleh anda strim atau berinteraksi.

Perkhidmatan kami direka untuk berfungsi bersama-sama, dan ini memudahkan lagi anda untuk beralih daripada satu aktiviti kepada aktiviti yang seterusnya. Contohnya, jika acara Calendar anda termasuk alamat, anda boleh mengklik alamat itu dan Maps dapat menunjukkan arah ke sana.

Membangunkan, meningkatkan dan mengemas kini perkhidmatan Google

Walaupun kami menggunakan takrifan umum “perkhidmatan” bagi seluruh istilah ini seperti yang diterangkan di atas, undang-undang yang berkenaan membuat perbezaan antara “kandungan digital”, “perkhidmatan”, dan “barangan” dalam keadaan tertentu. Inilah sebabnya kami menggunakan istilah yang lebih khusus dalam bahagian ini dan bahagian Jaminan undang-undang.

Kami sentiasa membangunkan teknologi dan ciri baharu untuk memperbaik perkhidmatan kami. Contohnya, kami menggunakan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk memberi anda terjemahan serentak dan untuk mengesan serta menyekat spam dan perisian hasad dengan lebih baik lagi.

Sebagai sebahagian daripada evolusi berterusan kandungan digital, perkhidmatan dan barangan, kami membuat pengubahsuaian seperti menambah atau mengalih keluar ciri dan kefungsian, meningkatkan atau mengurangkan had penggunaan dan menawarkan kandungan digital atau perkhidmatan baharu atau menghentikan perkhidmatan lama. Kami juga boleh menukar kandungan digital atau perkhidmatan kami atas sebab lain ini:

  • untuk disesuaikan dengan teknologi baharu
  • untuk menggambarkan kenaikan atau pengurangan bilangan orang yang menggunakan perkhidmatan tertentu
  • untuk bertindak balas terhadap perubahan penting dalam lesen dan perkongsian kami dengan pihak lain
  • untuk menghalang penyalahgunaan atau kemudaratan
  • untuk mengatasi isu undang-undang, kawal selia, keselamatan atau sekuriti

Secara khususnya, kadangkala kami membuat kemaskinian yang dikehendaki oleh undang-undang, iaitu pengubahsuaian yang memastikan kandungan digital, perkhidmatan atau barangan menepati undang-undang. Kami membuat kemaskinian ini kepada kandungan digital, perkhidmatan dan barangan kami atas sebab keselamatan atau sekuriti dan untuk memastikan kandungan, perkhidmatan dan barangan tersebut memenuhi standard kualiti yang anda jangkakan, seperti yang diterangkan dalam bahagian Jaminan undang-undang. Kami mungkin memasang kemaskinian yang mengatasi risiko keselamatan atau sekuriti yang signifikan secara automatik. Untuk kemaskinian lain, anda boleh memilih sama ada anda mahu kemaskinian itu dipasang atau tidak.

Kami menyenggara program penyelidikan produk yang rapi, jadi sebelum kami menukar atau menghentikan penawaran perkhidmatan, kami mempertimbangkan dengan teliti minat anda sebagai pengguna, harapan anda yang munasabah dan kesan yang berkemungkinan terhadap anda dan orang lain. Kami hanya menukar atau berhenti menawarkan perkhidmatan untuk sebab yang sah.

Jika pengubahsuaian memberikan kesan negatif terhadap keupayaan anda untuk mengakses atau menggunakan kandungan digital atau perkhidmatan kami, atau jika kami berhenti menawarkan perkhidmatan sepenuhnya, kami akan memberi anda notis awal yang munasabah melalui e-mel — termasuk perihalan perubahan, tarikh pelaksanaan dan hak anda untuk menamatkan kontrak anda dengan kami jika pengubahsuaian kami memberikan kesan negatif lebih banyak daripada kesan negatif kecil — kecuali dalam situasi yang mendesak seperti menghalang penyalahgunaan atau kemudaratan, bertindak balas terhadap keperluan undang-undang atau menangani isu keselamatan dan kebolehkendalian. Kami juga akan memberikan peluang kepada anda untuk mengeksport kandungan anda daripada Google Account anda menggunakan Google Takeout, tertakluk pada undang-undang dan dasar yang berkenaan.

Perkara yang kami jangkakan daripada anda

Patuhi syarat ini dan syarat tambahan khusus perkhidmatan

Kebenaran yang kami berikan kepada anda untuk mengakses dan menggunakan perkhidmatan kami adalah berterusan selagi anda mematuhi:

Kami juga menjadikan pelbagai dasar, pusat bantuan, dan sumber lain tersedia kepada anda untuk menjawab soalan lazim serta menetapkan jangkaan tentang penggunaan perkhidmatan kami. Sumber ini termasuk Dasar Privasi, Pusat Bantuan Hak Cipta, Pusat Keselamatan, Pusat Ketelusan, dan halaman lain yang boleh diakses daripada laman dasar kami. Akhir sekali, kami mungkin memberikan arahan dan amaran khusus dalam perkhidmatan kami – seperti kotak dialog yang memaklumi anda tentang maklumat penting.

Walaupun kami memberi anda kebenaran untuk menggunakan perkhidmatan kami, kami mengekalkan sebarang hak harta intelektual yang kami miliki dalam perkhidmatan tersebut.

Hormati orang lain

Kami mahu mengekalkan persekitaran hormat-menghormati untuk semua orang, yang bermakna anda mestilah mematuhi peraturan tingkah laku asas ini:
  • mematuhi undang-undang yang bersesuaian, termasuk undang-undang kawalan eksport, sekatan, dan pemerdagangan manusia
  • menghormati hak orang lain, termasuk privasi dan hak harta intelek
  • tidak mencederakan atau membahayakan orang lain atau diri anda (atau mengancam atau menggalakkan kecederaan atau bahaya sedemikian) — contohnya, dengan memperdaya, menipu, menyamar dengan cara yang tidak sah, memfitnah, membuli, mengganggu, atau ugutan berterusan terhadap orang lain

Syarat dan dasar tambahan khusus perkhidmatan kami, seperti Dasar Penggunaan AI Generatif Yang Dilarang kami, memberikan butiran tambahan tentang tingkah laku yang sesuai dan semua orang yang menggunakan perkhidmatan itu perlu mematuhi butiran tambahan tersebut. Jika anda mendapati orang lain tidak mematuhi peraturan ini, banyak perkhidmatan kami membenarkan anda melaporkan penyalahgunaan. Jika kami bertindak terhadap laporan penyalahgunaan, kami juga menyediakan proses seperti yang diterangkan dalam seksyen Mengambil tindakan sekiranya berlaku masalah.

Jangan menyalahgunakan perkhidmatan kami

Kebanyakan pengguna yang mengakses atau menggunakan perkhidmatan kami memahami peraturan umum yang memastikan Internet selamat dan terbuka. Dukacita dimaklumkan, sebilangan kecil pengguna tidak menghormati peraturan tersebut, oleh hal yang demikian kami menjelaskan peraturan itu di sini untuk melindungi perkhidmatan dan pengguna kami daripada penyalahgunaan. Dengan semangat itu:

Anda tidak boleh menyalahgunakan, membahayakan, mengganggu, atau menjejaskan perkhidmatan atau sistem kami — contohnya, dengan:
  • memperkenalkan perisian hasad
  • menghantar spam, menggodam atau memintas sistem atau langkah perlindungan kami
  • memecah sekat, gesaan berniat jahat, atau suntikan gesaan, kecuali sebagai sebahagian daripada program ujian keselamatan dan pepijat kami
  • mengakses atau menggunakan perkhidmatan atau kandungan kami dengan cara yang menipu atau memperdaya, seperti:
    • pancingan data
    • membuat akaun atau kandungan palsu, termasuk ulasan palsu
    • mengelirukan orang lain untuk berfikir bahawa kandungan AI generatif dibuat oleh manusia
    • menyediakan perkhidmatan yang kelihatan seperti berasal daripada anda (atau orang lain) sedangkan perkhidmatan itu sebenarnya berasal daripada kami
  • menyediakan perkhidmatan yang kelihatan seperti berasal daripada kami sedangkan perkhidmatan itu tidak berasal daripada kami
  • menggunakan perkhidmatan kami (termasuk kandungan yang mereka sediakan) untuk melanggar hak undang-undang sesiapa sahaja, seperti harta intelek atau hak privasi
  • melakukan kejuruteraan balikan terhadap perkhidmatan atau teknologi asas kami, seperti model pembelajaran mesin kami, untuk mengekstrak rahsia perdagangan atau maklumat proprietari lain, kecuali yang dibenarkan oleh undang-undang yang bersesuaian
  • menggunakan cara automatik untuk mengakses kandungan daripada mana-mana perkhidmatan kami yang melanggar arahan yang boleh dibaca mesin pada halaman web kami (contohnya, fail robots.txt yang tidak membenarkan rangkak, latihan atau aktiviti lain)
  • menggunakan kandungan dijana AI daripada perkhidmatan kami untuk membangunkan model pembelajaran mesin atau teknologi yang berkaitan dengan AI
  • menyembunyikan atau memberikan salah nyataan tentang diri anda untuk tujuan melanggar syarat ini
  • menyediakan perkhidmatan yang menggalakkan orang lain melanggar syarat ini

Kebenaran untuk menggunakan kandungan anda

Sesetengah perkhidmatan kami direka untuk membolehkan anda memuat naik, menyerahkan, menyimpan, menghantar, menerima atau berkongsi kandungan anda. Anda tiada kewajipan untuk menyediakan sebarang kandungan untuk perkhidmatan kami dan anda bebas untuk memilih kandungan yang mahu disediakan. Jika anda memilih untuk memuat naik atau berkongsi kandungan, sila pastikan anda memiliki hak yang sewajarnya untuk berbuat demikian dan memastikan kandungan tersebut sah di sisi undang-undang.

Lesen

Kandungan anda tetap menjadi milik anda, yang bermakna anda mengekalkan sebarang hak harta intelek yang anda miliki dalam kandungan anda. Sebagai contoh, anda mempunyai hak harta intelek dalam kandungan kreatif yang anda buat, seperti ulasan yang anda tulis. Atau anda mungkin mempunyai hak untuk berkongsi kandungan kreatif orang lain jika mereka telah memberikan kebenaran kepada anda.

Kami memerlukan kebenaran anda jika hak harta intelektual anda menyekat kami daripada menggunakan kandungan anda. Anda memberikan kebenaran tersebut kepada Google melalui lesen ini.

Perkara yang diliputi

Lesen ini meliputi kandungan anda jika kandungan itu dilindungi oleh hak harta intelek.

Perkara yang tidak dilindungi

  • Lesen ini tidak memberi kesan terhadap hak perlindungan data anda — hanya memberi kesan terhadap hak harta intelektual anda
  • Lesen ini tidak meliputi jenis kandungan berikut:
    • maklumat fakta yang tersedia kepada umum yang anda berikan, seperti pembetulan alamat perniagaan setempat. Maklumat itu tidak memerlukan lesen kerana dianggap pengetahuan umum yang boleh digunakan dengan bebas oleh orang ramai.
    • maklum balas yang anda tawarkan, seperti cadangan untuk memperbaik perkhidmatan kami. Maklum balas dibincangkan dalam bahagian Komunikasi berkaitan perkhidmatan di bawah.

Skop

Lesen ini meliputi:
  • seluruh dunia, yang bermakna lesen ini sah di mana-mana di dunia
  • bukan eksklusif, yang bermakna anda boleh melesenkan kandungan anda kepada orang lain
  • secara bebas royalti, yang bermakna tidak ada yuran dalam bentuk wang bagi lesen ini.

Hak

Lesen ini membenarkan Google untuk:

  • mengehos, menghasilkan semula, menyampaikan dan menggunakan kandungan anda — contohnya, untuk menyimpan kandungan anda pada sistem kami dan menjadikan kandungan tersebut boleh diakses dari mana-mana sahaja tempat yang anda lawati
  • menerbitkan, melaksanakan secara terbuka, atau memaparkan kandungan anda kepada umum, jika anda telah menjadikan kandungan itu dapat dilihat oleh orang lain
  • mengubah suai kandungan anda, seperti memformatkan semula atau menterjemahkan kandungan anda
  • mensublesenkan hak ini untuk:
    • pengguna lain untuk membenarkan perkhidmatan berfungsi seperti yang direka, seperti membolehkan anda berkongsi foto dengan orang yang anda pilih
    • kontraktor kami yang telah menandatangani perjanjian dengan kami yang tekal dengan syarat ini, hanya untuk tujuan terhad yang dijelaskan dalam bahagian Tujuan di bawah

Tujuan

Lesen ini adalah untuk tujuan terhad:

  • mengendalikan dan memperbaik perkhidmatan, yang bermakna membenarkan perkhidmatan berfungsi seperti yang direka dan mencipta ciri serta fungsi baharu. Perkara ini termasuk menggunakan sistem dan algoritma automatik untuk menganalisis kandungan anda:
    • untuk spam, perisian hasad dan kandungan haram
    • untuk mengecam corak dalam data, seperti menentukan masa untuk mengesyorkan album baharu dalam Google Photos untuk menyimpan foto yang berkaitan dalam satu himpunan
    • untuk menyesuaikan perkhidmatan kami untuk anda, seperti menyediakan pengesyoran dan hasil carian, kandungan serta iklan yang diperibadikan (yang boleh anda ubah atau matikan dalam Tetapan Iklan)
    Analisis ini berlaku semasa kandungan dihantar, diterima dan apabila disimpan.
  • menggunakan kandungan yang telah anda kongsi kepada umum untuk mempromosikan perkhidmatan. Sebagai contoh, untuk mempromosikan apl Google, kami mungkin memetik ulasan yang anda tulis. Atau untuk mempromosikan Google Play, kami mungkin memaparkan tangkapan skrin apl yang anda tawarkan di Gedung Play.
  • membangunkan teknologi dan perkhidmatan baharu untuk Google yang tekal dengan syarat ini

Tempoh

Lesen ini sah selagi kandungan anda dilindungi oleh hak harta intelektual.

Jika anda menghapuskan apa-apa kandungan yang dilindungi oleh lesen ini daripada perkhidmatan kami, maka sistem kami akan berhenti menjadikan kandungan itu tersedia kepada umum dalam tempoh masa yang munasabah. Terdapat dua pengecualian:

  • Jika anda sudah berkongsi kandungan anda dengan orang lain sebelum menghapuskan kandungan tersebut. Contohnya, jika anda berkongsi foto dengan rakan yang kemudiannya membuat salinan atau mengongsi foto itu semula, maka foto itu boleh terus dipaparkan dalam Google Account rakan anda walaupun selepas anda mengalih keluar foto itu daripada Google Account anda.
  • Jika anda menjadikan kandungan anda tersedia melalui perkhidmatan syarikat lain, enjin carian, termasuk Google Search, mungkin akan terus mencari dan memaparkan kandungan anda sebagai sebahagian daripada hasil carian mereka.

Menggunakan perkhidmatan Google

Akaun Google Anda

Jika anda memenuhi syarat umur ini anda boleh membuat Google Account untuk kemudahan anda. Sesetengah perkhidmatan menghendaki anda mempunyai Google Account untuk berfungsi — sebagai contoh, untuk menggunakan Gmail, anda memerlukan Google Account supaya anda mempunyai tempat untuk menghantar dan menerima e-mel anda.

Anda bertanggungjawab terhadap perkara yang anda lakukan dengan Google Account anda, termasuk mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan Google Account anda selamat, dan kami menggalakkan anda agar selalu menggunakan Pemeriksaan Keselamatan.

Menggunakan perkhidmatan Google bagi pihak organisasi atau perniagaan

Banyak organisasi, seperti perniagaan, organisasi bukan untung dan institusi pengajian, memanfaatkan perkhidmatan kami. Untuk menggunakan perkhidmatan kami bagi pihak organisasi:
  • wakil sah organisasi itu mesti bersetuju untuk menerima syarat ini
  • pentadbir organisasi anda mungkin memperuntukkan Google Account kepada anda. Pentadbir itu mungkin memerlukan anda mematuhi peraturan tambahan dan mungkin dapat mengakses atau melumpuhkan Google Account anda.
Jika anda berpangkalan di Kesatuan Eropah, maka syarat ini tidak mempengaruhi hak yang mungkin anda miliki sebagai pengguna perniagaan perkhidmatan perantaraan dalam talian — termasuk platform dalam talian seperti Google Play — menurut Peraturan Platform kepada Perniagaan EU.

Komunikasi berkaitan perkhidmatan

Untuk menyediakan perkhidmatan kami kepada anda, kadangkala kami menghantar pengumuman perkhidmatan dan maklumat lain kepada anda. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara kami berkomunikasi dengan anda, lihat Dasar Privasi Google.

Jika anda memilih untuk memberikan maklum balas kepada kami, seperti cadangan untuk memperbaik perkhidmatan, kami mungkin bertindak atas maklum balas anda tanpa sebarang kewajipan kepada anda.

Kandungan dalam perkhidmatan Google

Kandungan anda

Sesetengah perkhidmatan kami membenarkan anda untuk menjana kandungan asal. Google tidak akan menuntut pemilikan terhadap kandungan tersebut.

Sesetengah perkhidmatan kami memberi anda peluang untuk menjadikan kandungan anda tersedia kepada umum — contohnya, anda mungkin menyiarkan ulasan produk atau restoran yang anda tulis, atau anda mungkin memuat naik catatan blog yang anda buat.

Jika anda berpendapat seseorang melanggar hak harta intelektual anda, anda boleh menghantar notis kepada kami tentang pelanggaran tersebut dan kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Contohnya, kami menggantung atau menutup Google Account pelanggar hak cipta berulang seperti yang dijelaskan dalam Pusat Bantuan Hak Cipta kami.

Kandungan Google

Sesetengah perkhidmatan kami merangkumi kandungan yang dimiliki oleh Google — contohnya, kebanyakan ilustrasi visual yang anda lihat dalam Google Maps. Anda boleh menggunakan kandungan Google seperti yang dibenarkan oleh syarat ini dan mana-mana syarat tambahan khusus perkhidmatan, tetapi kami mengekalkan sebarang hak harta intelek yang kami miliki dalam kandungan kami. Jangan alih keluar, selindungi atau ubah mana-mana penjenamaan, logo, atau notis undang-undang kami. Jika anda ingin menggunakan penjenamaan atau logo kami, sila lihat halaman Kebenaran Jenama Google.

Kandungan lain

Akhir sekali, sesetengah perkhidmatan kami memberi anda akses kepada kandungan yang dimiliki oleh orang atau organisasi lain — contohnya, perihalan pemilik kedai tentang perniagaan mereka sendiri atau artikel akhbar yang dipaparkan dalam Google News. Anda tidak boleh menggunakan kandungan ini tanpa kebenaran orang atau organisasi itu, atau kecuali dibenarkan oleh undang-undang. Pendapat yang diutarakan dalam kandungan milik orang atau organisasi lain ialah pendapat mereka dan tidak semestinya menggambarkan pendapat Google.

Perisian dalam perkhidmatan Google

Sesetengah perkhidmatan kami merangkumi perisian yang boleh dimuat turun atau dipramuat. Kami memberi anda kebenaran untuk menggunakan perisian itu sebagai sebahagian daripada perkhidmatan.

Lesen yang kami berikan kepada anda adalah:
  • boleh digunakan di seluruh dunia, yang bermakna lesen ini sah di mana-mana sahaja di dunia
  • bukan eksklusif, yang bermakna kami boleh melesenkan perisian kepada orang lain
  • bebas royalti, yang bermakna tidak ada yuran dalam bentuk wang bagi lesen ini
  • peribadi, yang bermakna lesen ini tidak boleh dikongsikan kepada orang lain
  • tidak boleh diserahkan hak, yang bermakna anda tidak dibenarkan menyerahkan hak lesen ini kepada orang lain

Sesetengah perkhidmatan kami merangkumi perisian yang ditawarkan di bawah syarat lesen sumber terbuka yang kami jadikan tersedia kepada anda. Kadangkala terdapat peruntukan dalam lesen sumber terbuka yang membatalkan beberapa bahagian syarat ini dengan jelas. Oleh itu, pastikan anda membaca lesen tersebut.

Anda tidak boleh menyalin, mengubah suai, mengedar, menjual atau menyewakan mana-mana bahagian perkhidmatan atau perisian kami.

Sekiranya timbul masalah atau perselisihan

Undang-undang dan syarat ini kedua-duanya memberikan anda hak (1) kualiti perkhidmatan tertentu, dan (2) cara untuk menyelesaikan masalah sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Jika anda seorang pengguna, maka anda menikmati semua hak perundangan yang diberikan kepada pengguna di bawah undang-undang yang berkenaan, serta sebarang hak tambahan yang diberikan di bawah syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan.

Jaminan undang-undang

Jika anda seorang pengguna yang berpangkalan di EEA, dan anda telah bersetuju untuk menerima Syarat Perkhidmatan, maka undang-undang pengguna EEA memberi anda jaminan undang-undang yang merangkumi kandungan digital, perkhidmatan atau barangan yang kami sediakan kepada anda. Di bawah jaminan ini, kami bertanggungjawab bagi sebarang ketakpatuhan yang anda temukan:

  • dalam tempoh dua tahun dari tarikh penghantaran barangan (seperti telefon) atau bekalan kandungan digital atau perkhidmatan satu kali (seperti membeli filem)
  • pada bila-bila masa dalam tempoh bekalan kandungan digital atau perkhidmatan “berterusan” (seperti Maps atau Gmail)

Undang-undang negara anda mungkin memberikan jaminan yang lebih lama. Hak anda di bawah jaminan undang-undang ini tidak terhad oleh sebarang jaminan komersial lain yang kami berikan. Jika anda mahu membuat tuntutan jaminan, sila hubungi kami.

Liabiliti

Untuk semua pengguna

Syarat ini tidak mengehadkan liabiliti untuk:

  • penipuan atau salah nyataan penipuan
  • kematian atau kecederaan diri yang disebabkan oleh kecuaian
  • kecuaian yang melampau
  • salah laku yang disengajakan

Selain liabiliti yang diterangkan di atas, Google hanya bertanggungjawab bagi pelanggaran syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan yang berkenaan, tertakluk pada undang-undang yang berkenaan.

Untuk pengguna perniagaan dan organisasi sahaja

Jika anda ialah pengguna perniagaan atau organisasi:

  • Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan, anda akan melindungi Google dan para pengarah, pegawai, kakitangan, dan kontraktornya daripada sebarang tindakan undang-undang pihak ketiga (termasuk tindakan oleh pihak berkuasa kerajaan) yang berpunca daripada atau berkaitan dengan penggunaan anda bagi perkhidmatan itu yang menyalahi undang-undang atau pelanggaran syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan. Perlindungan ini meliputi sebarang liabiliti atau perbelanjaan yang berpunca daripada tuntutan, kerugian, kerosakan, penghakiman, denda, kos litigasi dan yuran guaman, kecuali setakat liabiliti atau perbelanjaan yang disebabkan oleh pelanggaran, kecuaian, atau salah laku yang disengajakan oleh Google.
  • Jika anda dikecualikan dari sisi undang-undang daripada tanggungjawab tertentu, termasuk perlindungan, maka tanggungjawab tersebut tidak dikenakan kepada anda di bawah syarat ini. Sebagai contoh, Bangsa-Bangsa Bersatu mempunyai kekebalan tertentu terhadap kewajipan undang-undang dan syarat ini tidak membatalkan kekebalan tersebut.
  • Google tidak akan bertanggungjawab terhadap liabiliti yang berikut:
    • kehilangan keuntungan, hasil, peluang perniagaan, muhibah, atau penjimatan yang dijangkakan
    • kerugian tidak langsung atau turutan
    • ganti rugi punitif
  • Melainkan sebagaimana dinyatakan dalam seksyen Untuk semua pengguna di atas, liabiliti terkumpul keseluruhan Google yang berpunca daripada atau berkaitan dengan syarat ini adalah terhad kepada jumlah terbesar antara (1) €500 atau (2) 125% daripada yuran yang telah anda bayar untuk menggunakan perkhidmatan yang berkaitan dalam tempoh 12 bulan sebelum pelanggaran tersebut.

Mengambil tindakan sekiranya berlaku masalah

Sebelum mengambil tindakan seperti yang diterangkan di bawah, kami akan memberi anda notis awal sekiranya wajar, menerangkan sebab tindakan kami, dan memberi anda peluang untuk menjelaskan dan menangani masalah tersebut, melainkan kami percaya secara munasabah bahawa berbuat demikian akan:

  • mengakibatkan kemudaratan atau liabiliti kepada pengguna, pihak ketiga, atau Google
  • melanggar undang-undang atau perintah pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang
  • menjejaskan penyiasatan
  • menjejaskan operasi, integriti, atau keselamatan perkhidmatan kami

Menghapuskan kandungan anda

Jika kami percaya sewajarnya bahawa mana-mana kandungan anda (1) melanggar syarat ini, syarat tambahan khusus perkhidmatan atau dasar, (2) melanggar undang-undang yang dilaksanakan, atau(3) boleh memudaratkan pengguna kami, pihak ketiga atau Google, maka kami berhak untuk mengeluarkan sebahagian daripada atau kesemua kandungan tersebut menurut undang-undang yang dilaksanakan. Contoh termasuk pornografi kanak-kanak, kandungan yang memudahkan pemerdagangan manusia atau gangguan, kandungan pengganas dan kandungan yang melanggar hak harta intelek orang lain.

Menggantung atau menamatkan akses anda kepada perkhidmatan Google

Tanpa mengehadkan mana-mana hak kami yang lain, Google boleh menggantung atau menamatkan akses anda kepada perkhidmatan atau memadamkan Google Account anda jika mana-mana perkara ini berlaku:

  • anda secara ketara atau berulang kali melanggar syarat ini, dasar atau syarat tambahan khusus perkhidmatan
  • kami dikehendaki berbuat demikian demi mematuhi keperluan undang-undang atau perintah mahkamah
  • kami percaya sewajarnya bahawa tingkah laku anda menyebabkan kemudaratan atau liabiliti kepada pengguna, pihak ketiga atau Google — contohnya, dengan menggodam, memancing data, mengganggu, menghantar spam, memperdayakan orang lain atau mengikis kandungan yang bukan milik anda

Untuk mendapatkan maklumat lanjut sebab kami melumpuhkan akaun dan perkara yang berlaku apabila kami mengambil tindakan tersebut, lihat halaman Pusat Bantuan ini. Jika anda percaya Google Account anda telah digantung atau ditamatkan secara salah, anda boleh membuat rayuan.

Sudah semestinya anda bebas untuk berhenti menggunakan perkhidmatan kami pada bila-bila masa. Jika anda ialah pengguna yang berpangkalan di EEA, anda juga boleh menarik diri daripada syarat ini dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan syarat tersebut. Jika anda berhenti menggunakan perkhidmatan, kami ingin mengetahui sebab tindakan itu supaya kami dapat memperbaik perkhidmatan kami secara berterusan.

Mengendalikan permintaan data anda

Menghormati privasi dan keselamatan data anda menjadi asas kepada pendekatan kami apabila membalas permintaan pendedahan data. Apabila kami menerima permintaan pendedahan data, pasukan kami menyemak permintaan tersebut untuk memastikan permintaan itu memenuhi keperluan undang-undang dan dasar pendedahan data Google. Google Ireland Limited mengakses dan mendedahkan data, termasuk komunikasi, menurut undang-undang Ireland dan undang-undang EU yang digunakan di Ireland. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang permintaan pendedahan data yang diterima Google dari seluruh dunia dan cara kami mengendalikan permintaan sedemikian, lihat Laporan Ketelusan dan Dasar Privasi kami.

Menyelesaikan pertikaian, undang-undang pentadbiran, dan mahkamah

Untuk mendapatkan maklumat mengenai cara menghubungi Google, sila melawat halaman hubungan kami.

Jika anda penduduk di, atau organisasi yang berpangkalan di Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) atau Switzerland, syarat ini dan hubungan anda dengan Google menurut syarat ini serta syarat tambahan khusus perkhidmatan, dikawal oleh undang-undang negara tempat tinggal anda dan anda boleh memfailkan pertikaian undang-undang di mahkamah tempatan anda. Jika anda merupakan pengguna yang berpangkalan di EEA, sila hubungi kami terus untuk menyelesaikan isu ini. Suruhanjaya Eropah juga menawarkan platform Penyelesaian Pertikaian Dalam Talian, tetapi Google tidak dikehendaki oleh undang-undang untuk menggunakan platform ini atau platform penyelesaian pertikaian alternatif yang lain.

Perihal syarat ini

Menurut undang-undang, anda mempunyai hak tertentu yang tidak boleh dihadkan oleh kontrak seperti syarat perkhidmatan ini. Syarat ini tidak bertujuan sama sekali untuk mengehadkan hak tersebut.

Syarat ini menjelaskan hubungan antara anda dengan Google. Syarat ini tidak mewujudkan sebarang hak undang-undang untuk orang atau organisasi lain, walaupun pihak lain mendapat manfaat daripada hubungan antara anda dengan Google menurut syarat ini.

Kami ingin menjadikan syarat ini mudah difahami. Oleh itu, kami telah menggunakan contoh daripada perkhidmatan kami. Akan tetapi, tidak semua perkhidmatan yang disebut mungkin tersedia di negara anda.

Jika didapati syarat tertentu tidak sah atau tidak boleh dikuatkuasakan, hal ini tidak akan menjejaskan mana-mana syarat yang lain.

Jika anda tidak mematuhi syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan, dan kami tidak mengambil tindakan dengan serta-merta, ini tidak bermakna kami menyerahkan mana-mana hak yang kami miliki, seperti mengambil tindakan pada masa hadapan.

Kami mungkin mengemas kini syarat ini dan syarat tambahan khusus perkhidmatan (1) untuk menggambarkan perubahan dalam perkhidmatan kami atau cara kami mengendalikan perniagaan — contohnya, apabila kami menambahkan perkhidmatan, ciri, teknologi, harga atau faedah baharu (atau menghentikan yang lama), (2) atas sebab undang-undang, kawal selia atau keselamatan, atau (3) untuk menghalang penyalahgunaan atau kemudaratan.

Jika kami membuat perubahan penting kepada syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan, kami akan memberi anda notis awal yang munasabah dan peluang untuk menyemak perubahan tersebut, kecuali (1) apabila kami melancarkan perkhidmatan atau ciri baharu, atau (2) dalam keadaan yang terdesak, seperti menghalang penyalahgunaan yang berterusan atau bertindak atas keperluan undang-undang. Jika anda tidak bersetuju menerima syarat yang baharu, anda harus menghapuskan kandungan anda dan berhenti menggunakan perkhidmatan tersebut. Anda juga boleh menamatkan hubungan anda dengan kami pada bila-bila masa dengan menutup Google Account anda.

Arahan EEA tentang penarikan diri

Jika anda merupakan pengguna yang berada di EEA, maka undang-undang pengguna EEA memberi anda hak untuk menarik diri daripada kontrak ini seperti yang diterangkan dalam Templat Arahan Penarikan Diri EU, yang diberikan di bawah.

Hak menarik diri

Anda berhak menarik diri daripada kontrak ini dalam tempoh 14 hari tanpa memberikan sebarang sebab.

Tempoh penarikan diri akan tamat selepas 14 hari dari tarikh pembuatan kontrak.

Untuk menggunakan hak menarik diri, anda mesti memaklumkan keputusan anda untuk menarik diri kepada kami melalui pernyataan jelas (mis., surat yang dihantar melalui pos atau e-mel). Anda boleh menghubungi kami melalui e-mel di account-withdrawal@google.com; melalui telefon +353 1 533 9837 (lihat di bawah untuk mendapatkan nombor telefon khusus negara); atau dengan menulis kepada kami melalui alamat Google Ireland Limited, Gordon House, Barrow Street, Dublin 4, Ireland. Anda boleh menggunakan templat borang penarikan diri yang dilampirkan tetapi penggunaannya adalah tidak wajib. Anda juga boleh mengisi dan menyerahkan templat borang penarikan diri atau sebarang pernyataan jelas yang lain di laman web kami secara elektronik (g.co/EEAWithdrawalForm). Jika anda menggunakan pilihan ini, kami akan memberikan perakuan penerimaan penarikan diri tersebut melalui medium yang kekal (mis., melalui e-mel) tanpa kelengahan.

Untuk memenuhi tarikh akhir penarikan diri, anda hanya perlu menghantar surat berhubung penggunaan hak penarikan diri anda sebelum tempoh penarikan diri tamat.

Kesan penarikan diri

Jika anda menarik diri daripada kontrak ini, kami akan membayar balik kepada anda semua bayaran yang kami terima daripada anda, termasuk kos penghantaran (kecuali kos tambahan yang terhasil daripada pilihan anda berhubung jenis penghantaran selain jenis penghantaran standard paling murah yang kami tawarkan), tanpa kelengahan yang tidak wajar dan dalam apa jua keadaan, tidak melebihi 14 hari dari hari kami dimaklumkan tentang keputusan anda untuk menarik diri daripada kontrak ini. Kami akan melaksanakan bayaran balik tersebut menggunakan kaedah pembayaran yang sama seperti yang anda gunakan untuk transaksi awal, melainkan anda telah bersetuju dengan jelas sebaliknya; walau bagaimanapun, anda tidak akan menanggung sebarang yuran akibat bayaran balik tersebut.

Templat borang penarikan diri

(lengkapkan dan kembalikan borang ini hanya sekiranya anda ingin menarik diri daripada kontrak)

— Kepada Google Ireland Limited, Gordon House, Barrow Street, Dublin 4, Ireland, account-withdrawal@google.com:

— Saya dengan ini memberi notis bahawa saya menarik diri daripada kontrak jualan saya untuk peruntukan perkhidmatan yang berikut, _____________

— Dipesan pada, _____________

— Nama pengguna, _____________

— Alamat pengguna, _____________

— Tandatangan pengguna (hanya sekiranya borang ini diberitahu di atas kertas), _____________

— Tarikh _____________

Hubungi Google untuk menarik diri daripada syarat ini

NegaraNombor telefon
Austria0800 001180
Kepulauan Aland0800 526683
Belgium0800 58 142
Bulgaria0800 14 744
Kepulauan Canary+34 912 15 86 27
Ceuta dan Melilla+34 912 15 86 27
Croatia0800 787 086
Cyprus80 092492
Czechia800 720 070
Denmark80 40 01 11
Estonia8002 643
Finland0800 520030
Perancis0 805 98 03 38
Guiana Perancis0805 98 03 38
Polinesia Perancis+33 1 85 14 96 65
Wilayah Selatan Perancis+33 1 85 14 96 65
Jerman0800 6270502
Greece21 1180 9433
Guadeloupe0805 98 03 38
Hungary06 80 200 148
Iceland800 4177
Ireland1800 832 663
Itali800 598 905
Latvia80 205 391
Liechtenstein0800 566 814
Lithuania0 800 00 163
Luxembourg800 40 005
Malta8006 2257
Martinique0805 98 03 38
Mayotte+33 1 85 14 96 65
Belanda0800 3600010
New Caledonia+33 1 85 14 96 65
Norway800 62 068
Poland800 410 575
Portugal808 203 430
Reunion0805 98 03 38
Romania0800 672 350
Slovakia0800 500 932
Slovenia080 688882
Sepanyol900 906 451
St. Barthelemy+33 1 85 14 96 65
Saint Martin+33 1 85 14 96 65
Saint Pierre dan Miquelon+33 1 85 14 96 65
Svalbard dan Jan Mayen800 62 425
Sweden020-012 52 41
Kota Vatican800 599 102
Wallis dan Futuna+33 1 85 14 96 65

Takrif

anggota gabungan

Entiti yang dimiliki oleh kumpulan syarikat Google, yang bermakna Google LLC dan anak syarikatnya, termasuk syarikat yang berikut yang menyediakan perkhidmatan pengguna di EU: Google Ireland Limited, Google Commerce Ltd, dan Google Dialer Inc.

cap dagangan

Simbol, nama dan imej yang digunakan dalam perdagangan yang berupaya untuk membezakan barangan atau perkhidmatan orang perseorangan atau organisasi daripada yang dimiliki oleh orang atau organisasi lain.

Hak perundangan yang membolehkan pencipta karya asal (seperti catatan blog, foto, atau video) menentukan jika dan cara karya asal itu boleh digunakan oleh orang lain, tertakluk pada had dan pengecualian tertentu.

hak harta intelektual (hak IP)

Hak atas ciptaan daripada minda seseorang, seperti reka cipta (hak paten); karya kesusasteraan dan seni (hak cipta); reka bentuk (hak reka bentuk); dan simbol, nama serta imej yang digunakan dalam perdagangan (cap dagangan). Hak IP mungkin milik anda, individu lain atau organisasi.

jaminan

Jaminan bahawa produk atau perkhidmatan akan memberikan prestasi pada tahap tertentu.

jaminan komersial

Jaminan komersial ialah komitmen sukarela yang merupakan tambahan kepada jaminan pematuhan undang-undang. Syarikat yang menawarkan jaminan komersial bersetuju untuk (a) menyediakan perkhidmatan tertentu; atau (b) membaiki, menggantikan, atau membayar balik pengguna untuk item yang rosak.

Jaminan undang-undang ialah keperluan di bawah undang-undang apabila penjual atau pedagang bertanggungjawab sekiranya kandungan digital, perkhidmatan dan barangan mereka rosak (iaitu, mereka tiada pematuhan).

kandungan anda

Bahan digital yang anda buat, muat naik, serah, simpan, hantar, terima atau kongsi menggunakan perkhidmatan kami, seperti:

  • Docs, Sheets dan Slides yang anda buat
  • catatan blog yang anda muat naik melalui Blogger
  • ulasan yang anda serahkan melalui Maps
  • video yang anda simpan dalam Drive
  • e-mel yang anda hantar dan terima melalui Gmail
  • gambar yang anda kongsi dengan rakan melalui Photos
  • jadual perjalanan yang anda kongsi dengan Google

liabiliti

Kerugian daripada sebarang jenis tuntutan perundangan, sama ada tuntutan itu berdasarkan kontrak, tort (termasuk kecuaian), atau sebab lain, dan tidak kira sama ada kerugian itu boleh dijangkakan atau diramalkan atau tidak.

melindungi atau perlindungan

Kewajipan kontrak orang perseorangan atau organisasi untuk memberikan pampasan bagi kerugian yang ditanggung oleh orang atau organisasi lain akibat daripada prosiding undang-undang seperti tuntutan mahkamah.

organisasi

Entiti sah (seperti perbadanan, organisasi bukan untung, atau sekolah) dan bukan individu.

penafian

Pernyataan yang mengehadkan tanggungjawab perundangan seseorang.

pengguna

Individu yang menggunakan perkhidmatan Google untuk tujuan peribadi dan bukan komersial di luar skop perdagangan, perniagaan, kemahiran atau pekerjaan mereka. Ini merangkumi “pengguna” seperti yang ditakrifkan dalam Perkara 2.1 Arahan Hak Pengguna EU. (Lihat pengguna perniagaan)

pengguna perniagaan

Individu atau entiti yang bukan pengguna (lihat pengguna).

Peraturan Platform kepada Perniagaan EU

Peraturan (EU) 2019/1150 berkenaan menggalakkan kesaksamaan dan ketelusan untuk perniagaan yang menggunakan perkhidmatan perantaraan dalam talian.

perkhidmatan

Perkhidmatan Google yang tertakluk pada syarat ini ialah produk dan perkhidmatan yang disenaraikan pada https://policies.google.com/terms/service-specific, termasuk:

  • apl dan laman (seperti Search dan Maps)
  • platform (seperti Google Shopping)
  • perkhidmatan bersepadu (seperti Maps yang dibenamkan dalam apl atau tapak syarikat lain)
  • peranti dan barangan lain (seperti Google Nest)

Kebanyakan perkhidmatan ini juga termasuk kandungan yang boleh anda strim atau berinteraksi.

tiada pematuhan

Konsep perundangan yang mentakrifkan perbezaan antara cara sesuatu seharusnya berfungsi dengan cara sebenar sesuatu itu berfungsi. Di bawah undang-undang itu, cara sesuatu seharusnya berfungsi adalah berdasarkan cara penjual atau pedagang menerangkan cara tersebut, sama ada kualiti atau prestasinya memuaskan dan kesesuaiannya untuk tujuan biasa item tersebut.

versi negara

Jika anda mempunyai Google Account, kami mengaitkan akaun anda dengan negara (atau wilayah) supaya kami dapat menentukan:

  • ahli gabungan Google yang menyediakan perkhidmatan kepada anda dan yang memproses maklumat anda semasa anda menggunakan perkhidmatan tersebut
  • versi syarat yang mengawal hubungan kita

Apabila anda telah log keluar, versi negara anda ditentukan oleh lokasi tempat anda menggunakan perkhidmatan Google. Jika anda mempunyai akaun, anda boleh log masuk dan melihat syarat ini untuk melihat negara yang dikaitkan dengan syarat tersebut.

Apl Google
Menu utama